Nuffnang Ads

Wednesday, January 12, 2011

Deftones Live in Malaysia !!!

 
DEFTONES temui peminat 14 Februari.
Industri muzik negara rancak dengan kehadiran lebih ramai artis antarabangsa

SEPANJANG tahun lalu, peminat muzik negara ini berpeluang menikmati pelbagai konsert artis antarabangsa, yang turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebahagian persinggahan konsert jelajah dunia mereka.
Sebahagian besar daripada konsert penyanyi mahupun kumpulan luar negara pula dilihat tidak mengecewakan, dari segi persembahan artis itu sendiri mahupun sambutan yang diterima oleh mereka yang membolehkan lebih ramai nama besar pada peringkat dunia menjadikan ibu kota ini sebagai lokasi pertunjukan seterusnya.
Tahun lalu, konsert Tom Jones, Slash, Paramore, Usher, Wonder Girls, Adam Lambert dan Ne-Yo ialah antara persembahan yang mendapat perhatian ramai. Pada awal tahun ini, beberapa nama popular dari Barat terus disenaraikan, bagi menyemarakkan lagi suasana industri muzik negara ini.

Sebagai pembuka tirai 2011, kumpulan rock Amerika yang pernah memenangi Persembahan Metal Terbaik pada Anugerah Grammy 2001, Deftones, akan menggegarkan ibu negara dalam konsert sulung mereka di negara ini.

Selain Malaysia, kumpulan yang berasal dari Sacramento, California, itu turut memilih beberapa negara lain seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina sebagai lokasi konsert jelajah mereka pada tahun ini.

Bagaimanapun, peminat di negara ini sedikit bertuah apabila kumpulan yang diasaskan pada 1988 itu memilih tarikh istimewa, hari memperingati kekasih, sebagai tarikh persembahan.
Konsert yang bakal berlangsung KL Live, Jalan Sultan Ismail bermula jam 8.30 malam itu dianjurkan oleh Fat Boys, manakala penaja utama pula ialah Tune Talk.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo, berkata pihaknya membawa masuk kumpulan rock metal terkenal Amerika itu disebabkan permintaan yang tinggi daripada peminat.


“Biarpun siri penjelajahan konsert Deftones akan membabitkan beberapa negara di Asia ini seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina, namun Deftones memilih negara ini untuk tarikh paling istimewa, 14 Februari, sebagai tarikh konsert mereka.

“Ini adalah hadiah yang sangat bermakna buat golongan peminat lelaki sekiranya teman wanita mereka membelikan tiket Deftones dan menghadiahkan kepada mereka.

“Pihak kami juga sangat berbesar hati apabila dapat memenuhi permintaan peminat dengan membawa lebih ramai artis antarabangsa mengadakan persembahan di negara ini,” katanya yang ditemui selepas sidang media baru-baru ini.

Deftones yang muncul bersama album Diamond Eyes pada tahun lalu menonjolkan identiti muzik tersendiri dengan muzik yang berat tetapi lebih kepada elemen artistik hingga mampu meraih pelbagai anugerah.

Mereka pernah meraih jualan album mencecah platinum menerusi album Adrenaline (1995) dan White Pony (2000), selain tahap emas bagi album Around The Fur (1997) serta Deftones (2003).


Album pertama kumpulan ini yang dijual secara meluas ialah Around The Fur pada 1997 dan menerusi album itu, mereka dikenali hasil populariti lagu My Own Summer dan Be Quiet And Drive.

Deftones dibarisi oleh Chino Moreno, Frank Delgado, Abe Cunningham, Chi Cheng dan Stephen Carpenter. Sehingga kini, Deftones sudah pun memiliki enam album, dengan album terbaru, Eros, akan memasuki pasaran dalam masa terdekat.


resource : Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2011/01/13

No comments:

Post a Comment